Aliran keluar dana asing pada Jun 2022 RM4.1 bilion

Iklan
Foto 123RF

JUMLAH aliran keluar dana asing mencecah RM4.1 bilion pada bulan lepas dengan pelabur asing menjadi penjual bersih Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), kata RAM Ratings.

Pelabur asing terbabit mengurangkan pegangan sebanyak RM4.3 bilion selepas tidak berbuat demikian pada Mei lepas dengan sebahagian besar daripada tindakan itu didorong oleh kebimbangan pelaksanaan dasar monetari lebih agresif di Amerika Syarikat (AS) selain mengelak risiko berikutan jangkaan kelembapan ekonomi global.

Iklan
Iklan

"Sentimen mengutamakan pilihan lebih selamat itu menyebabkan kenaikan pulangan bon apabila hasil MGS setahun dan 10 tahun menokok 33.1 mata asas (bps) dan 6.5 bps bulan ke bulan pada akhir Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, minat terhadap sekuriti kerajaan jangka pendek, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) kekal positif dengan belian asing bersih berjumlah RM233.1 juta pada bulan lepas, sekali gus memaparkan aliran masuk dana asing bagi lima bulan berturut-turut.

Iklan

RAM Ratings berkata, tekanan jualan terhadap bon dengan tempoh lebih panjang juga berkurangan sejak pertengahan Jun lepas apabila hasil bagi tempoh itu susut walaupun pulangan jangka pendek terus meningkat.

Menurutnya, hasil MGS 10 tahun susut kepada 4.06 peratus pada 20 Julai daripada 4.33 peratus pada 15 Jun, seiring dengan penurunan hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun kepada 3.04 peratus daripada 3.33 peratus bagi tempoh sama.

Iklan

Ia menyifatkan penyusutan hasil jangka panjang itu disebabkan oleh kebimbangan ketara mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan di AS yang akan disusuli sama ada dengan penurunan kadar faedah atau tiada perubahan pada masa akan datang.

"Ketika pelabur terus menilai prospek ekonomi, hasil jangka panjang diunjur kekal berdepan tekanan penurunan dalam masa terdekat.

"Dalam pada itu, hasil bagi jangka pendek sebaliknya diunjur meneruskan aliran kenaikan sebagai tindak balas terhadap langkah memperketat dasar monetari,” katanya. - Bernama