PONTIAN - Jarang dilihat pada masa kini, adat perkahwinan Bugis yang sinonim dengan manisan dan pelbagai adat menjadi pilihan pengantin pada masa kini.
Bagi Haniful Aswan Dalik, 40, dan Nazarina Ahmad, 34, mereka memilih untuk meneruskan tradisi keluarga melangsungkan perkahwinan adat Bugis.
Suasana muafakat penduduk dan keriuhan rewang dapat dilihat seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung di Kampung Parit Makuaseng, baru-baru ini.
Namun uniknya perkahwinan adat Bugis ini dapat dilihat menerusi pelbagai jenis manisan yang diletakkan atas dulang khas disebut busarak.
Ibu Haniful Aswan, Rogayah Kasauk, 78, berkata, lebih 30 manisan dihidangkan di atas dua meja khas bagi santapan tetamu.
Katanya, air teh akan diberikan kepada tetamu selepas memakan manisan tersebut sebelum pulang ke rumah selepas menghadiri majlis perkahwinan.
"Antara manisan yang dihidangkan seperti bahulu pechak, keluku, cengkarok, karimah dan dodol cengkarok. Ada juga kuih moden seperti tat nanas dan kek buah kukus.
"Manisan ini dihidangkan atas busarak yang ditutup dengan kain dan penutup khas,” katanya.
Jelasnya, manisan yang begitu banyak diletakkan di atas meja menimbulkan perasaan pelik dalam kalangan tetamu yang hadir kerana mereka jarang menyaksikan adat perkahwinan Bugis pada masa kini.
"Ramai yang bertanya tentang manisan yang begitu banyak diletakkan di atas meja. Kebanyakan tidak tahu, manisan tersebut merupakan antara adat dalam majlis perkahwinan Bugis.
"Di Sulawesi Indonesia, perkahwinan Bugis masih menjadi pilihan penduduk di sana. Lebih banyak manisan yang diletakkan di atas meja ketika berlangsung majlis perkahwinan,”katanya.
Menurut Rogayah, pengantin lelaki turut memakai kain sab’eh yang menjadi antara pakaian adat masyarakat Bugis.
"Kain sab’eh tidak boleh dibasuh. Uniknya kain ini menjadi pilihan masyarakat Bugis,” katanya.
Tambahnya lagi dia amat bersyukur kerana keluarga, saudara mara dan penduduk kampung membantu majlis berjalan lancar dengan bergotong-gotong.
"Keempat-empat anak saya sebelum ini melangsungkan perkahwinan secara adat Bugis.
"Syukur majlis perkahwinan Haniful Aswan dapat dilangsungkan dengan adat Bugis,” katanya.