Rangkaian 5G mampu lonjak daya saing ekonomi Malaysia: PM

Iklan
Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaruh keyakinan rangkaian 5G mampu melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia serta tahap produktiviti dan nilai tambah industri.

Keyakinan itu dinyatakan Ismail Sabri semasa menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ericsson, Borje Ekholm di Putrajaya hari ini, yang tertumpu kepada perbincangan status terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan rangkaian 5G mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G.

"Saya berharap pelaksanaan rangkaian 5G mampu memberi impak positif terhadap liputan komunikasi kepada Keluarga Malaysia," katanya.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, Ericsson turut menyatakan komitmen untuk terus mempergiatkan aktiviti dan pelaburan di Malaysia setelah 57 tahun bertapak di negara ini. - Bernama