Gesa sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok

Iklan
Murallitharan (tiga dari kiri) bersama wakil NGO dan badan profesional menggesa ahli Parlimen menyokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok bagi menyelesaikan isu ketagihan merokok.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional menggesa semua ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ketagihan merokok.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, pihaknya kecewa dengan respons beberapa ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU tersebut seperti dilaporkan menerusi siaran media Code Blue pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketagihan rokok semakin membimbangkan termasuk peningkatan pengguna rokok elektronik (vape) kepada 4.9 peratus pada 2019 berbanding 3.2 peratus pada 2016 yang boleh memberikan kesan besar kepada sosial, kesihatan dan ekonomi negara.

"Ini menjadikan jumlah pengguna rokok elektronik telah meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang dalam tempoh tiga tahun dan menimbulkan kebimbangan kepada kami dalam kumpulan profesional, NGO dan aktivis kesihatan.

Iklan

"Kami juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan Akta Merokok dan Generasi Penamat (GEG) yang merupakan larangan tabiat merokok bagi golongan remaja yang lahir selepas Januari 2005 mesti disokong di Parlimen," katanya pada sesi taklimat dan sidang akhbar di NCSM, di sini pada Jumaat.

Justeru katanya, sokongan kepada pelaksanaan RUU tersebut dapat mengubah masa depan kesihatan generasi akan datang yang bebas daripada penyakit akibat ketagihan nikotin.

Iklan

"Kita mahu ahli Parlimen yang membawakan suara rakyat ini menyokong RUU. Jika masih ada yang bertindak sebaliknya, kita boleh mengadakan pertemuan dan menerangkan setiap kesan daripada ketagihan ini.

"Jika boleh, lakukan undian terhadap semua ibu bapa sama ada ingin benar atau tidak membenarkan anak-anak mereka menghisap rokok atau vape.

"Jadi dari situ kita boleh tahu adakah ahli Parlimen ini faham dengan suara rakyat atau mempunyai kepentingan sendiri," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, akta tersebut dijangka mampu menyelesaikan isu ketagihan merokok yang sukar dibendung sejak berpuluh tahun lamanya.

"Sekiranya tidak dibendung, kita akan ada rakyat yang ketagihan rokok dan vape pula. Jadi kita perlu berhentikan perkara ini dan wujudkan generasi baharu bebas rokok dan vape," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Burhanuddin Disa berkata, pihaknya memohon ahli Parlimen menyokong usaha PEMADAM dan NGO lain melahirkan generasi Malaysia akan datang selamat, sihat dan bebas daripada asap rokok.

"Penyakit daripada vape sudah banyak timbul selain rokok. Berapa banyak wang negara dibazirkan untuk merawat penyakit disebabkan rokok. Adakah kita masih tidak mahu menyokong akta pencegahan yang dibawa ini," katanya.

Tambahnya, akta dibawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah langkah pencegahan ke atas anak-anak yang lahir selepas tahun 2005 kepada ketagihan merokok.

"Kita akan lihat anak-anak selepas tahun 2005 ini tidak ada lagi yang merokok, tidak ada lagi yang mengambil vape. Ini bermakna negara kita akan bebas daripada asap rokok.

"Mereka yang pergi ke kedai makan tidak akan bimbang lagi dengan asap rokok. Sejak penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam dilaksanakan pada tahun 2018, berlaku banyak pengurangan dan kita tidak perlu lagi bertelagah dengan perokok," katanya.

Tambahnya, langkah pencegahan itu dilihat mampu merawat penyakit disebabkan menghisap rokok dan vape.