SHAH ALAM - Laporan skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan skor tertinggi iaitu 9.29 atau di tahap sangat bahagia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, turut tersenarai dalam tahap sama bagi tinjauan yang pertama kali dilaksanakan itu adalah Kuala Lumpur (7.77), Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02) dan Perlis (6.96).
Menurutnya, dua negeri pula didapati mencatatkan skor sederhana bahagia iaitu Melaka (5.85) serta Selangor (5.74).
"MHI dibangunkan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat negara ini dari aspek fizikal, emosi dan spiritual. Di Labuan semua komponen yang dinilai berada di tahap sangat bahagia dan paling tinggi dicatatkan dalam komponen penggunaan masa iaitu skornya mencecah 9.93. Boleh dikatakan jumlah skor yang dicapai itu adalah sempurna kerana skor tertinggi yang diletakkan adalah 10.
"Bagi komponen lain, keluarga pada paras 9.91, diikuti amalan kerohanian (9.83), keselamatan awam (9.74), kemudahan komunikasi (9.64), perumahan dan alam sekitar (9.61), persekitaran kerja (9.50), kesihatan (9.49), penyertaan sosial (9.34), kebudayaan (9.18), pendapatan (8.96) dan pendidikan (8.01).
"Hanya komponen pengalaman emosi berada di tahap bahagia iaitu 7.58," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Laporan MHI pada Jumaat.
Mohd Uzir berkata, antara faktor yang menjurus kepada skor tertinggi bagi kebahagiaan penduduk di Labuan adalah keadaan geografinya yang tidak begitu besar serta kekurangan trafik di wilayah berkenaan.
Beliau dalam masa sama turut merumuskan secara keseluruhan rakyat Malaysia berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi, pada tahun pelaksanaan tinjauan itu.
"Senario ini mungkin akan berbeza untuk kajian yang akan datang. Penemuan survei ini juga menunjukkan tidak wujud jurang yang ketara antara strata, etnik, kumpulan umur, jantina, pencapaian pendidikan dan taraf perkahwinan dalam mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia," katanya.