Kos operasi berkurangan tingkatkan pendapatan peneroka
SHAH ALAM – Pengambilalihan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberi harapan baharu kepada para peneroka tanaman getah.
Rata-rata peneroka yang ditemui menyifatkan keputusan Felda memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih PMG adalah langkah tepat dan sangat dialu-alukan.
Ketua Peneroka Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebelum ini PMG ditadbir oleh FGV Rubber Industries Sdn Bhd.
Jelasnya, apabila Perdana Menteri membuat pengumuman PMG diambil alih oleh Felda, kos pengurusan PMG kini ditanggung oleh Felda.
"Apabila diambil alih, Felda kurangkan kos operasi yang ditanggung peneroka, jadi pendapatan peneroka akhirnya bertambah apabila potongan kos operasi ini makin rendah.”
Menurutnya lagi, peneroka juga akan dapat lebih pendapatan jika produktiviti ditingkatkan melalui pelbagai usaha yang giat dilaksanakan oleh Felda dan kepimpinan peneroka sendiri.
"Kalau dahulu pengeluaran getah di tempat saya boleh capai 600 hingga 800kg sebulan, selepas ini mungkin kita boleh cuba tingkatkan minimum 1,500kg untuk setiap peneroka sebulan,” katanya.
Jelasnya,ini merupakan cabaran kepada semua ketua peneroka dan kepada pengurusan pentadbiran Felda supaya dapat tingkatkan hasil selepas ini.
Peneroka tidak tanggung kos besar
Bagi Ketua Peneroka Felda Batu 8, Wilayah Alor Setar, Hamdan Hamzah berkata, keputusan yang dibuat kerajaan itu amat melegakan peneroka Felda tanaman getah.
"Ini matlamat kita sewaktu pertemuan sesi libat urus supaya kos pengurusan getah ini dikurangkan.”
Tambahnya lagi, peneroka di Felda Batu 8 telah diberi taklimat awal mengenai pengambalihan PMG.
"Julai ini jumlah hasil jualan amat memberangsangkan kerana hasil lot saya sendiri pendapatan untuk akhir bulan lepas mencecah RM5,000 lebih,” katanya.
Jelasnya, hasil jualannya yang diperoleh itu paling tinggi berbanding tempoh dua tahun sebelumnya.
"Kita akan beri taklimat kepada semua peneroka-peneroka untuk memberitahu betapa berkesannya pengambialihan PMG ini dan peneroka harus bersama Felda kerana kos operasi sudah dikurangkan sekali gus boleh meningkatkan pendapatan kita.
"Kenaikan harga ini boleh menjadi galakan dan menarik minat peneroka menjual hasil getah skrap kepada Felda kerana pengurangan kos menjadikan harga getah dalam Felda lebih tinggi dari getah luar,” katanya.
Peneroka terlibat pantau hasil getah
Ketua peneroka Felda Wilayah Alor Setar, Fisal Abdul Aziz berkata, melalui pengambilalihan PMG ini, peneroka akan dapat terlibat secara langsung dalam memantau hasil getah terus ke kilang.
"Peneroka bebas beri pandangan untuk menyelesaikan jika sesuatu isu timbul,” katanya.
"Saya juga yakin, dengan pengambilalihan ini, kos operasi boleh dikurangkan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan peneroka.
"Secara keseluruhan ia menjadi inisiatif galakan kepada peneroka getah untuk menghantar hasil terus melalui Felda,” katanya.
Dalam pada itu Fisal turut melahirkan rasa syukur apabila peneroka tanaman getah diberi manfaat ini.
"Saya sangat berpuas hati dan terima kasih sebab cadangan dari peneroka getah diambil berat oleh pihak pengurusan Felda.
"Ini maksudnya pengurusan Felda mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah dan mereka menerima cadangan penambahbaikan yang diusulkan selama ini,” katanya.
Tambahnya lagi, paling penting setiap peneroka harus terlibat dalam urusan PMG dan pembelian.
"Setiap peneroka perlu urus sendiri, cakna dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan
"Ini adalah keputusan terbaik untuk warga peneroka tanaman getah, jadi ambil peluang ini untuk menambah hasil pendapatan keluarga,” katanya.
Mengulas mengenai keuntungan yang bakal diperoleh oleh peneroka tanaman getah, Fisal berkata hasil Jualan boleh dilihat pada Julai ini.
"Setakat ini ada nampak perubahan pada peningkatan pada kualiti belian getah itu sendiri,” katanya.
Jelasnya, dahulu peneroka jual kepada pemborong luar, mungkin ada berlaku ketirisan hasil, tapi kini Felda boleh berkuasa untuk kawal dari segi operasi dan berikan perkhidmatan lebih baik daripada dahulu.
"PMG ini diuruskan oleh jawatankuasa biro PMG dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) yang turut bekerjasama dengan biro ladang.
Ujarnya lagi, biro ini bertanggungjawab memantau dan memberi khidmat nasihat cara dan kaedah untuk tingkatkan hasil,” katanya.