Harga minyak masak di peringkat peruncit mula menyusut

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa harga minyak masak botol di peringkat peruncit kini mula merekodkan penyusutan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia susulan penurunan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Kali terakhir paras rendah sebegini direkodkan adalah pada Julai 2021 manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 dicatatkan pada Mac tahun ini,” katanya menerusi siaran di Facebook rasminya, pada Jumaat.

Beliau berkata, mengikut simulasi KPDNHEP sebelum ini, kadar CPO semasa (RM3,814.50) sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65.

Iklan

Menurut Alexander, ‘reflection’ (pantulan) atau kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit.

Iklan

"Jangan ada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO ini, dengan alasan kerana nak menghabiskan stok bekalan lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP akan terus mengadakan libat urus selain menjalin kerjasama dengan pihak terlibat, kementerian dan agensi berkaitan demi memastikan hak pengguna terjaga serta mengimbangi kepentingan industri.

"Berdasarkan libat urus bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), saya dimaklumkan bahawa usaha menukar penetapan harga pembelian buah tandan segar (BTS) mengikut mingguan berbanding bulanan ketika ini giat dijalankan.

"Menerusi usaha ini, sebarang kesan langsung harga dapat dilihat dalam purata seminggu hingga seminggu setengah berbanding dua hingga dua bulan setengah sekarang,” katanya.