KPDNHEP Kudat sempat rampas barangan cuba diseleweng

Iklan
Anggota penguat kuasa merampas barang kawalan dari di sebuah stor di Kampung Barambangon, Kudat.
KOTA KINABALU - Tiga barang kawalan dipercayai cuba disorok dan diseleweng dirampas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kudat di sebuah stor di Kampung Barambangon di sini, pada Khamis.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, sebanyak 402 kilogram (kg) minyak masak peket, 864 kg gula pasir dan 914 kg tepung gandum bernilai RM6,991.40 dirampas susulan serbuan yang dilakukan bersama anggota Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kudat kira-kira jam 6.20 petang.

"Berdasarkan keterangan awal, premis terbabit dipercayai menyorokkan dan menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi sehingga RM80 sekotak bagi minyak masak.

"Barang kawalan itu untuk pasaran sekitar daerah ini dan dijual secara dalam talian," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Georgie, seorang lelaki dipercayai pemilik barang kawalan berkenaan telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan awal juga mendapati pemilik berkenaan gagal mengemukakan

sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi terbabit," katanya.