TANJONG KARANG - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui kedai koperasi atau Coop Mart sedang berusaha mengimport bekalan ayam beku bagi memastikan keperluan pengguna mencukupi.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha membawa masuk ayam beku import itu dijangka dilaksanakan pada September depan.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibawa dalam mesyuarat peringkat kementeriannya dan sudah diumumkan pada sidang Parlimen pada Rabu lalu.
"Kita sedang dalam proses untuk membawa ayam luar (import) untuk membantu menyelesaikan kenaikan harga ayam di pasaran," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang pada Jumaat.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kementeriannya sudah mengenal pasti beberapa negara untuk pembekalan ayam beku import.
"Dari segi pembungkusan ayam beku yang diimport, kita akan menggunakan logo dan pengedaran juga akan diuruskan Coop Mart," jelas beliau.
Katanya, langkah kementerian itu diharap dapat membantu kerajaan menampung keperluan pengguna selain negara tidak lagi berdepan dengan masalah kekurangan bekalan ayam.
Jelas beliau, sudah tentu harga ayam beku import dijual berpatutan berbanding harga ayam segar.
"Pengguna mempunyai banyak pilihan dan sudah tentu harga yang ditawarkan menerusi Coop Mart lebih murah," ujarnya.