SHAH ALAM - Legenda dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mengharapkan tindakan lebih tegas dapat dilakukan dalam menangani isu mat rempit di negara ini.
Beliau berkata, isu mat rempit sudah lama berlaku dan masih belum ada jalan penyelesaian, sekali gus menuntut langkah lebih baik terutama dalam menyediakan fasiliti atau trek yang sesuai.
Menurutnya, cadangan untuk menyediakan fasiliti itu sudah banyak kali diutarakan, namun tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada pihak bertanggungjawab menyebabkan kebanyakan golongan belia memilih berlumba di atas jalan raya.
"Saya rasa sedih dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini, apatah lagi mereka harta berharga untuk negara, tetapi apa tindakan kita untuk mengelakkan ia daripada berulang?
"Apa yang saya lihat, mereka inginkan melakukan perkara yang ekstrem dan mereka mahu cuba sesuatu benda yang baharu dan mencabar.
"Sebab itu, isu fasiliti ini perlu diberikan keutamaan untuk mat rempit ini melepaskan segala kehebatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Shahrol Yuzy yang juga bekas pelumba MotoGP negara menyifatkan penyediaan fasiliti atau trek tersebut tidak akan menelan belanja yang mahal sehingga mencecah jutaan ringgit.
Malah, beliau berkata, jalan kosong atau tapak di luar stadium boleh menjadi tempat untuk berlumba, dalam masa sama mewajibkan kepada mereka perkakasan keselamatan yang sesuai.
"Trek yang ada di negara ini, sedikit. Saya percaya mat rempit ini nak trek yang lurus sahaja dan tak perlu kos berpuluh juta. Jika ada tanah yang luas, mungkin boleh sediakan jalan lurus dalam 400 meter ke 500 meter untuk mereka mencuba motosikal mereka.
"Boleh juga tengok tapak stadium dan jalan yang tidak dipakai, boleh menjadi tempat untuk mereka berkumpul menunjukkan bakat.
"Kita jangan lihat apabila sebut sahaja trek ia akan melibatkan kos yang tinggi.
"Saya yakin mereka pun tidak berkira untuk membeli sut keselamatan atau mematuhi ciri keselamatan sekiranya diwajibkan,” katanya.
Shahrol Yuzy bagaimanapun menyifatkan cadangan fasiliti tersebut bukan untuk menggalakkan mat rempit, tetapi menyediakan tempat yang selamat untuk mereka berlumba.
Sudah lama berlaku tapi tiada kesudahan
Sementara itu di Georgetown, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam memastikan kegiatan lumba haram di negara ini dibanteras sepenuhnya.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kegiatan tersebut sudah lama berleluasa, namun tiada sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah sosial itu.
Mengambil contoh kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pada awal pagi Ahad lalu, Mohideen berkata, sudah tiba masa kerajaan dan pihak berkuasa bertindak lebih agresif.
"Kebanyakan pelumba haram ini adalah golongan belia. Mereka melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal tanpa mengambil kira keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
"Mereka juga cenderung mengubah suai motosikal untuk berlumba. Selain itu ada pengusaha kedai motosikal melakukan perkhidmatan mengubah suai.
"Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas dengan tidak membenarkan kedai-kedai ini daripada melakukan sebarang pengubahsuaian,” katanya.