MELBOURNE - Penduduk di bandar Mildura, utara Victoria, Australia berasa terpinga-pinga pada Selasa lalu apabila melihat cahaya berwarna merah jambu yang menakutkan.
Ia sangat pelik, kata seorang penduduk Tammy Szumowski seperti dilaporkan media di negara berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat penjelasan yang lebih mudah tentang bagaimanan fenomena itu boleh berlaku.
Syarikat farmaseutikal, Cann Group mengesahkan bahawa cahaya itu datang dari sebuah kemudahan tanaman ganja untuk perubatan yang mana tirai pemadaman tidak ditutup.
Menurut Rhys Cohen iaitu Pengurus Komunikasi kanan di syarikat itu, tumbuhan ganja memerlukan spektrum cahaya yang berbeza untuk menggalakkan pertumbuhannya.
Justeru, katanya, lampu spektrum merah sering digunakan dan pada kebiasaannya, kemudahan itu akan mempunyai tirai gelap yang turun pada waktu malam.
Digelar sebagai aurora marijuanis, cahaya istimewa tersebut diperlukan di bahagian pengeluaran baharu Cann Group itu.
Pada kebiasaannya, bidai pemadaman ditutup pada masa yang sama ketika matahari terbenam tetapi pada malam Selasa lalu, syarikat berkenaan telah menghidupkan lampu manakala bidai masih belum ditutup menyebabkan terdapat satu tempoh di mana ia mencipta cahaya bersinar.
Ketua Pegawai Eksekutif Cann Group, Peter Crock berkata, lampu LED beroperasi pada gelombang yang berbeza menyebabkan munculnya cahaya merah jambu. - Agensi