KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah sepatutnya mempertimbangkan kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus sahaja berbanding 40 peratus yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah, Winston@Hassnal Majuning berkata, kenaikan wang saraan atau gaji Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diluluskan itu tidak sesuai pada masanya.
"Kenaikan 40 peratus adalah kadar yang sangat tinggi, sepatutnya kerajaan mempertimbangkan kenaikan sedikit seperti dua peratus atau lima peratus jika ada keperluan mendesak bagi kenaikan gaji.
"Ini menunjukkan kerajaan mementingkan diri mereka dari memahami sensitiviti rakyat yg terbeban pada kos hidup yang menaik dan bebanan masalah ekonomi kesan pandemik covid-19," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Winston lagi, rakyat ketika ini masih mengharapkan bantuan kewangan untuk membantu memulihkan ekonomi yang terjejas akibat kesan daripada pandemik Covid-19.
"Alasan menyatakan kenaikan itu sebagai keperluan untuk membantu rakyat adalah tidak masuk akal kerana kerajaan mampu menyalurkan wang itu kepada rakyat melalui program pembangunan yang lain.
"Tindakan kerajaan memperlihatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti tidak berfungsi lebih baik untuk rakyat Sabah.
"Walaupun konsep perjuangan GRS bersifat kenegerian tetapi tindakan mereka lebih teruk dari parti-parti nasional yang ada di Sabah," katanya.
DUN Sabah pada persidangan Selasa lalu telah meluluskan kenaikan gaji ADUN dan anggota pentadbiran DUN Sabah yang merangkumi gaji Ketua Menteri, Timbalannya, Menteri, Speaker dan Timbalan Speaker, ADUN serta Setiausaha Politik.