SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius laporan berkaitan dakwaan kecurian identiti pengguna perkhidmatan itu hingga menyebabkan mangsa bakal berhadapan tindakan undang-undang.
TNB dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan penyelesaian terbaik bagi pengguna terbabit sekiranya terbukti lelaki itu menjadi mangsa pihak ketiga yang menyalahgunakan dokumennya.
"Semakan terperinci TNB mendapati akaun di bawah nama Chew Ee Liang yang bertempat di dua buah rumah kedai di Cheras, Kuala Lumpur, juga terlibat dengan penyambungan elektrik secara haram dan tuntutan berjumlah RM378,336.20 adalah bagi tempoh antara September 2018 hingga Mei 2020.
"Kes ini telah difailkan di mahkamah dan Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan terbaharu," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang jurutera buntu selepas maklumat peribadinya termasuk salinan kad pengenalan dipercayai digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada bil elektrik di dua buah rumah kedai di Cheras, Kuala Lumpur.
Chew Ee Liang, 33, berkata, kehidupan sehariannya terganggu sejak menerima surat daripada pemilik dua premis berkenaan yang mendakwa dia bakal disaman TNB berjumlah RM251,604 kerana penyewa premisnya tidak melunaskan bil elektrik selama beberapa bulan.
Dalam pada itu TNB turut mengingatkan orang ramai terutama yang pernah kehilangan dokumen peribadi untuk lakukan semakan di agensi perkhidmatan utiliti bagi mengelak identiti mereka disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengguna aplikasi myTNB juga disarankan untuk menyemak akaun-akaun yang didaftarkan di bawah kad pengenalan mereka dan sekiranya tertera akaun yang tidak didaftarkan, pemilik disaran mengubungi agensi itu dengan segera.
"Semua akaun di bawah nombor kad pengenalan yang berdaftar sebagai pemegang akaun TNB akan disenaraikan secara automatik sebaik sahaja myTNB app dibuka. Sekiranya akaun yang menimbulkan syak muncul di myTNB, pelanggan boleh menghubungi TNB dengan kadar segera untuk semakan lanjut.
"Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454,” menurut kenyataan itu.
Habis//