Rasuah RM24 juta: Bekas CEO bank bergelar Datuk direman

Iklan
Antara individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu merupakan suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Majistret R Prabakaran membenarkan suspek keempat itu direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.

Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan reman suspek CEO wanita disambung tiga hari bermula Sabtu, manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.

Iklan

Sementara itu, menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Ipoh kira-kira jam 4 petang, Jumaat.

Sumber berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Iklan

Katanya, difahamkan SPRM telah membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu.

"Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta," ujarnya.

Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi itu masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Tambah sumber, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisis data menjejak aset.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.