LARUT - Kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Maklumat Pengesanan Pelarian (TRIS) bagi mengumpulkan data pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan program tersebut sudah dipersetujui oleh jemaah menteri pada Jumaat.
Menurutnya, melalui program tersebut, semua pemegang kad UNHCR di negara ini perlu didaftarkan di dalam TRIS.
"Kita telah mengeluarkan satu program yang diberikan kepada sebuah syarikat untuk menjalankannya. Semalam (Jumaat) jemaah menteri telah meluluskan TRIS untuk memastikan segala data yang ada menggunakan kad UNHCR itu hendaklah didaftarkan semula dengan TRIS supaya kita tahu berapa ramai sebenarnya yang ada di negara ini.
"TRIS ini adalah untuk memastikan mereka yang ada di sini, apabila kita dah daftarkan kedudukan mereka, kita tahu di mana mereka tinggal. Kita akan memastikan bahawa selepas ini sesiapa sahaja yang mahu bekerja atau mahu melakukan sesuatu akan melalui polisi-polisi yang akan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Sesi Town Hall sempena Program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka, Batu Kurau, di sini pada Sabtu.
Hamzah berkata, tempoh percubaan bagi pelaksanaan sistem itu sudah dibuat beberapa tahun lalu.
Menurutnya, setelah mendapat kelulusan kabinet, program tersebut akan dilaksanakan secara besar-besaran.
Pada 10 Jun lalu, Hamzah dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian mengakui berasa bimbang dengan jumlah pemegang kad UNHCR di negara ini akan mencecah angka jutaan orang dalam tempoh tidak sampai 10 tahun lagi.
Menurut statistik, pemegang kad UNHCR di Malaysia sekarang ialah seramai 179,383 pendatang asing tanpa izin (PATI) berbanding hanya 140,982 pada tahun 2013.