SHAH ALAM - Isu penyelewengan minyak masak bersubsidi bagaikan tidak berkesudahan walaupun pihak berkuasa berusaha keras bagi membanteras masalah tersebut.
Kegiatan penyeludupan terus bermaharajalela kerana keuntungan yang diperoleh sangat lumayan, malah ada ada pihak turut menggunakan taktik menjualnya secara dalam talian.
Tugas berat dalam memastikan isu penyelewengan minyak masak bersubsidi itu terpaksa dipikul oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang saban hari menjalankan operasi dalam mengekang kegiatan tersebut berleluasa.
Berkongsi kepada Sinar Harian, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya melancarkan Ops ATM bertujuan membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan terutamanya barang makanan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak (ATM).
"Berdasarkan statistik berkaitan pemeriksaan minyak masak bermula 1 Julai hingga 17 Julai 2022, sebanyak 10,484 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 79 kes telah dihasilkan melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM2.11 juta, sebanyak 90 aduan juga telah diterima oleh kementerian dalam tempoh yang sama berkaitan bekalan dan harga minyak masak,” katanya baru-baru ini.
Pemeriksaan di premis
Ops ATM dijalankan secara menyeluruh yang mana tidak hanya melibatkan pemeriksaan ke atas pemborong malah turut melibatkan premis peniaga.
Langkah ini diambil bagi memastikan tiada ruang untuk kegiatan penyelewengan minyak masak berlaku.
Azman berkata, pemeriksaan dijalankan terhadap premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) ke atas minyak masak botol.
"KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan ke atas 998 premis bermula 1 Julai 2022 sehingga 17 Julai 2022 di pelbagai peringkat pengedaran minyak masak botol termasuklah pengilang, pemborong dan peruncit.
"Daripada jumlah tersebut sebanyak 57 Notis bertulis telah dikeluarkan terhadap kesalahan yang dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Jual secara dalam talian
Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, kaedah penjualan turut beralih ke arah digital yang menggunakan medium media sosial dan dijual secara berleluasa secara dalam talian.
Azman berkata, statistik penguatkuasaan bermula 1 Julai 2022 sehingga 17 Julai 2022 mencatatkan sebanyak 22 premis dalam talian telah diperiksa serta dipantau.
Menurutnya, pemantauan dijalankan melibatkan penyedia platform tapak pasar dalam talian dalam negara.
"Setakat ini, sebanyak dua kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,495.50 melibatkan kesalahan menjual minyak masak tanpa lesen yang sah.
"Selain itu juga, sebanyak 77 iklan berkaitan juga telah dinyah turun bagi memastikan aktiviti penyelewengan minyak masak secara dalam talian dibendung sepenuhnya,” katanya.
Azman berkata, permintaan yang tinggi daripada pengguna menyebabkan bekalan minyak peket cepat habis di pasaran.
Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi kepada pengilang sebelum diagihkan kepada pembungkus dan pemborong pada setiap bulan.
"Hari pertama atau kedua pada setiap bulan, pembungkus atau pemborong mula mendapatkan kuota dari kilang dan selepas itu mereka akan mula membuat pengeluaran.
"Sebenarnya kekurangan bekalan minyak peket ini bukan isu pembelian panik, tetapi disebabkan permintaan sangat tinggi kerana perbezaan subsidi kerajaan dengan yang tidak subsidi.
Kuota minyak masak subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini dijual dengan harga sangat rendah iaitu RM2.50 sebab itu ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna,” katanya.
Tindakan tegas
KPDNHEP sama sekali tidak berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi ini.
Menurut Azman, semua pihak termasuk peniaga diingatkan agar mematuhi perundangan khususnya berkaitan minyak masak bersubsidi tersebut.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang berkaitan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya sekali.
"Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.
Selain kegiatan penyelewengan, terdapat segelintir pihak yang dikesan menjual minyak masak bersubsidi itu melebihi harga yang ditetapkan.
Azman berkata, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah juga boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Bukan itu sahaja malahan pihak berkaitan juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
"Tindakan ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak,” katanya.
Menurut Azman, KPDNHEP kini sedang menumpukan perhatian kepada isu ketirisan minyak masak bersubsidi membabitkan pihak tertentu.
Beliau memberitahu, penyeludupan berlaku kerana terdapat permintaan yang tinggi selain ada pihak cuba mengambil keuntungan.
"KPDNHEP juga sedang berusaha melaksanakan naziran dan auditan bagi memastikan tiada peluang penyeludupan bahan mentah ini.
"Kita sudah memberi amaran akan mengambil tindakan yang lebih tegas dengan membatalkan lesen, menggantung lesen dan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.
Tambah beliau, pihak kementerian juga serius menangani masalah berkenaan dengan melaksanakan operasi di sempadan bersama agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain rangkaian serta sistem berkaitan minyak masak bersubsidi dapat melaksanakan naziran.