Kepupusan penyu undang ancaman ubur-ubur beracun

Iklan
Kepupusan penyu merupakan antara penyumbang utama lambakan pendaratan ubur-ubur terutama dari spesies ubur-ubur api berwarna biru.

KUALA NERUS – Kepupusan penyu belimbing merupakan antara penyumbang utama lambakan pendaratan ubur-ubur terutama dari spesies ubur-ubur api berwarna biru atau Portuguese man o'war di perairan negara sejak akhir-akhir ini.

Kurator Kanan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azwarina Mohd Azmi Ramasamy berkata, ia kerana penyu jenis itu merupakan pemangsa utama ubur-ubur.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, situasi tersebut menyebabkan berlakunya gangguan terhadap rantaian makanan dan ekosistem laut sekali gus turut memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat.

Azwarina

"Perubahan klimaks dan pemanasan global terutama pemanasan air di laut menyebabkan ubur-ubur ini semakin membiak dengan aktif. Selepas membiak, ia akan hanyut dibawa arus dari Laut China Selatan dan terdampar di pantai.

Iklan

"Oleh kerana pemangsa utama iaitu penyu belimbing sudah pupus, situasi ini memberi satu rantaian tidak stabil kepada ekosistem kita iaitu jumlah ubur-ubur ini tidak berkurangan, sebaliknya semakin banyak kerana tidak dimakan penyu.

"Tambahan pula ubur-ubur api warna biru adalah salah satu spesies yang membahayakan, jadi ia boleh menjadi faktor kepada gangguan dan ancaman keselamatan kepada komuniti pantai pula,” katanya di sini pada Sabtu.

Iklan

Azwarina berkata, kemuncak waktu pendaratan ubur-ubur api adalah sekitar Januari hingga Februari dan pihaknya mendapati berlaku peningkatan begitu ketara jumlah ubur-ubur di perairan negara sejak kebelakangan ini.

Jelas Azwarina, dianggarkan 150 hingga 400 ekor ubur-ubur api berjaya dikutip di sekitar perairan Terengganu pada setiap hari ketika tiba musim kemuncaknya dan data itu direkodkan hasil kajian pihaknya serta penyelidik UMT.

"Penyu yang merupakan haiwan marin penting dalam kestabilan ekosistem laut. Jadi dalam usaha mengekalkan rantaian agar tidak terganggu, pelbagai pihak perlu sama-sama ganding bahu memainkan peranan masing-masing memulihara penyu daripada pupus.

"Saya sedih dengan laporan mengatakan 41 kes kematian penyu direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jadi tindakan tegas perlu diambil dalam isu ini supaya penyu kekal terpelihara,” katanya.