PARIT BUNTAR - Deretan lima rumah penduduk terbakar dalam kejadian di Jalan Pantai, Kuala Kurau di sini pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Muhamad Irham Mohd Zin berkata, kebakaran bermula daripada salah sebuah rumah di deretan 17 rumah sebelum merebak ke rumah bersebelahan.
Menurutnya, dengan ketangkasan 27 pegawai dan anggota yang terlibat berjaya menyelamatkan 12 rumah lain daripada terbakar.
"Pasukan bomba yang tiba membuat kerja pemadaman menggunakan aliran air sehingga api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya.
"Siasatan mendapati dua rumah musnah 90 peratus manakala tiga yang lain musnah 70 peratus, 35 peratus dan 40 peratus.
"Selain itu, dua unit motosikal turut musnah 30 peratus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Muhamad Irham berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran.
Kata beliau, operasi lebih tiga jam itu dibantu BBP Parit Buntar, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Kurau, PBS Jalan Bawah, PBS Tanjung Piandang, PBS Bagan Serai dan PBS Sungai Udang, Pulau Pinang.