[VIDEO] Polis halang peserta Himpunan #Turun berarak ke Dataran Merdeka

Iklan
Peserta Himpunan #Turun cuba berarak ke Dataran Merdeka namun dihalang oleh pihak polis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengadakan halangan ketat dihadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini bagi menyekat kemaraan kira-kira 100 peserta Himpunan #Turun berarak menuju ke Dataran Merdeka pada Sabtu.

Himpunan berkenaan yang disertai oleh pemimpin parti pembangkang, mahasiswa dan orang ramai mula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah berkenaan seawal jam 2 petang.

Iklan
Iklan

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku apabila mereka yang berhimpun akur dengan saranan pihak polis untuk bersurai kira-kira jam 3 petang.

Peserta Himpunan #Turun berkumpul di hadapaj sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Mereka yang berpakaian serba hitam berkumpul dengan membawa sepanduk dan plakad menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan rakyat.

Iklan

Turut hadir memberikan ucapan pada himpunan berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),Adam Adli; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Abbas Azmi; Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Selangor, Faridul Amini; Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Tan Wee King dan Naib Ketua Pemuda Amanah Selangor, Afiq Danish.

Sementara itu, Abbas Azmi di dalam ucapannya mengesa rakyat untuk bangkit membantah kenaikan kos sara hidup yang menyusahkan rakyat.

Iklan

Menurutnya, isu kenaikan harga barang yang sudah tidak mampu dikawal oleh kerajaan berlaku disebabkan sistem tadbir urus yang lemah.

"Kerajaan harus bertindak segera menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan mendengar keluh kesah rakyat kerana bantuan yang diberikan hanya bersifat sementara," ujarnya.

Anggota PDRM tidak membenarkan peserta Himpunan #Turun berarak ke Dataran Merdeka. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Jelasnya, kerajaan perlu ada perancangan masa akan datang yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat terkesan khususnya kepada golongan B40.

Sebelum ini, polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam Himpunan #Turun.

Polis terpaksa mengadakan halangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi menyekat perarakan kumpulan protes ke Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung himpunan itu

Menurutnya, tiada notis pemakluman (penganjuran himpunan berkenaan) kepada pihak polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.