Pangsapuri di Bukit Gambang Resort City terbiar, rosak teruk

Iklan
Keadaan di sekitar bangunan pangsapuri di BGRC yang tidak terurus dan terbiar hingga dinaiki semak samun. - Foto Ihsan FB Bukit Gambang Resort Units Owner

KUANTAN - Pemilik unit pangsapuri di Caribean Bay Resort, Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini kecewa dengan keadaan bangunan resort itu yang kini terbiar ekoran penutupan operasi taman tema itu sejak tahun 2020.

Keadaan persekitaran bangunan yang menempatkan kira-kira 1,000 unit kediaman itu kini ditutupi semak samun dan ada unit telah dinaiki pokok-pokok menjalar.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan mereka, ada unit mengalami kerosakan serius termasuk kerosakan perabot seolah telah dipecah masuk.

Seorang pemilik, Fakhrul Adly Hashim, 38 berkata, dia menyedari keadaan itu selepas meninjau keadaan pangsapuri jenis studio miliknya di Caribean Bay Resort BGRC pada 6 Jun lalu.

Iklan

Dia mendakwa keadaan kawasan blok pangsapuri miliknya telah terbiar dan diliputi semak samun.

Keadaan di sekitar bangunan pangsapuri di BGRC yang tidak terurus dan terbiar hingga dinaiki semak samun.

"Paling terkejut bila masuk ke dalam rumah, keadaannya amat teruk seolah telah dipecah masuk berdasarkan keadaan di dalamnya yang mengalami kerosakan termasuk bahagian tandas.

Iklan

"Selain itu banyak perabot yang ditinggalkan turut dirosakkan dan ada yang hilang," katanya yang membeli pangsapuri itu bagi tujuan pelaburan sejak 2014.

Fakhrul Adly antara 25 pemilik pangsapuri di Caribean dan Arabian Bay Resort BGRC yang hadir berkumpul untuk mendapatkan penjelasan pihak pengurusan berhubung isu itu di hadapan pintu masuk BGRC di sini pada Sabtu.

Seorang lagi pemilik, Zainuddin Mohd Noor berkata, dia menerima notis penutupan operasi BGRC daripada pihak pengurusan pada April 2020.

Zainuddin Mohd Noor

"Menurutnya, rata-rata pemilik akur memandangkan ketika itu semua pihak berdepan tempoh sukar.

"Kami tidak sangka ia ditutup terlalu lama dan tiada penyelenggaraan dilakukan dalam tempoh itu hingga keadaan begitu terbiar dan tidak terurus," katanya.

Dia berkata, keadaan itu menjadi bebanan kepada pemilik apabila terpaksa membayar hutang pinjaman bank sedangkan hasil daripada pelaburan melalui perjanjian penyewaan itu tidak diperoleh.

"Isu bayaran ini bukan baharu malah berlaku sejak 2019 lagi di mana jumlahnya telah dikurangkan berbanding kadar yang dipersetujui sebelum ini.

"Sejak ditutup ekoran pandemik Covid-19 dua tahun lalu, kami langsung tidak menerima bayaran dan ditambah dengan keadaan seperti yang berlaku hari ini termasuk ketiadaan bekalan elektrik dan air katanya.

Bagi waris pemilik, Zarif Othman, 30, mendakwa, mereka tidak mendapat sebarang perkembangan daripada pihak pengurusan berhubung pembukaan semula taman tema itu.

Sebahagian pemilik berkumpul di hadapan pintu masuk BGRC di sini bagi mendapatkan penjelasan pihak pengurusan berhubung jangkaan pembukaan semula taman teman itu selain tindakan untuk membaiki dan menyelenggara unit pangsapuri yang terbiar.

"Kami langsung tidak dimaklumkan perkembangan terkini dan ia terus menjadi teka teki.

"Sekiranya penutupannya berlanjutan, pemilik bukan sahaja berdepan masalah dalam bayaran malah kemungkinan terpaksa menanggung kerugian lebih besar selain risiko kehilangan rumah tersebut.

"Melihat kepada keadaan sekarang, proses penyelenggaraan dan baik pulih akan memakan masa dan kos besar untuk beroperasi semula.

"Jadi kami ingin dapatkan kepastian bila pusat ini dijangka beroperasi dan apa langkah pihak pengurusan dalam menyelenggara unit pangsapuri yang rosak dan memulihkan kembali keadaan yang terbiar," katanya.

Zarif berkata, sekiranya pusat peranginan terkenal ini terus ditutup, ia bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada pemilik unit malah kepada syarikat itu sendiri selain kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Sementara itu, Penasihat Keselamatan Kumpulan Sentoria Group, Francis Quek menjelaskan, taman tema air BGRC dijangka akan beroperasi menjelang Ogos ini sekiranya proses pembaikan dan penyelenggaraan berjalan lancar.

Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan telah bermula namun banyak perkara yang perlu dilakukan ekoran pusat itu telah ditutup begitu lama bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk pengunjung.

"Sekiranya tiada isu luar jangka yang berlaku, keseluruhan operasi di BGRC ini akan beroperasi kembali penghujung tahun ini secara berperingkat.

"Proses pengambilan kakitangan juga akan bermula 1 Ogos ini sebagai persiapan untuk memulakan operasi.

"Kita sasarkan untuk buka taman tema air dahulu sebelum kemudahan lain termasuk proses pembaikan dan penyelenggaraan unit-unit penginapan," katanya.

Menurutnya keadaan begitu sukar namun usaha untuk membuka kembali operasi itu sedang dijalankan dan itu satu perkembangan positif yang boleh dikongsikan.

"Saya mencadangkan pemilik menubuhkan komuniti dan melantik wakil untuk membawa permasalahan yang timbul kepada pihak pengurusan," katanya.