BESUT – UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk menang ‘solid’ di Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan merampas kembali satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang dimenangi Pas.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, selain merampas Kota Putera, pihaknya turut menaruh keyakinan mampu mempertahankan kedudukan di Parlimen Besut dan tiga DUN lain iaitu Hulu Besut, Jertih dan Kuala Besut.
"Berdasarkan ‘mood’ rakyat yang menampakkan kecenderungan mahukan BN, insya-ALLAH, kita mampu pertahankan semua kerusi yang kita menang dan rampas balik kerusi DUN Kota Putera,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Menurut Nawi, pihaknya sudah melakukan persediaan awal bagi menghadapi PRU-15 yang dijangkakan tidak lama lagi termasuk mengadakan Bengkel Pemantapan BN Road To PRU15 di Kem Seri Keluang, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, bengkel yang dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said itu dihadiri seramai 1,000 jentera dari 45 pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh Besut.
Jelas beliau, melalui bengkel tersebut beberapa sub manifesto PRU15 bagi Parlimen Besut turut dirangka sebagai janji kepada pengundi daerah ini sekiranya mereka memberi peluang kepada BN untuk terus menang.
"Sebanyak 10 draf manifesto telah dirangka dan ia kan dihantar kepada UMNO Terengganu untuk diperhalusi sama ada kita mampu tunaikan atau tidak nanti.
"Harapan kita supaya UMNO dan BN dapat mengekalkan momentum kemenangan di Besut dan jentera parti kini sudah bersedia untuk menghadapi PRU15,” katanya.