SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa terdapat peniaga yang enggan untuk menurunkan harga minyak masak selari dengan harga terkini minyak sawit mentah (CPO).
"Bila CPO pada harga RM8,076 satu tan, maka minyak masak naik melambung, namun tetap ada subsidi, cuma RM2.50 sekilogram untuk sepeket
"Tapi bila CPO turun kepada RM3,814.50, adakah minyak masak turun dengan kadar yang selaras?
"Jawabnya tidak. Ini masalahnya kerana etika peniaga yang liat atas pelbagai sebab," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Jumaat berkata, mengikut simulasi kementerian sebelum ini, kadar CPO semasa iaitu RM3,814.50 sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol lima kilogram dipasarkan di peringkat peruncit sekitar RM30.65.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan di peringkat harga jualan runcit.
Alexander berkata, berdasarkan tinjauan, harga jualan minyak masak botol lima kilogram mula menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus di peringkat runcit apabila dijual pada harga RM39 berbanding RM45, bulan lalu.
Beliau berkata, kadar pengurangan harga itu adalah sebagai permulaan, memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga CPO akan terus berlaku.
Rabu lalu, Alexander dilaporkan berkata, harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 satu tan kepada RM3,600 satu tan minggu ini.