SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pihak universiti digesa supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kelewatan pelajar antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima visa mereka.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan gesaan itu di Facebook miliknya pada Sabtu berkata, kebanyakan pasport pelajar tersebut telah ditahan berikutan proses pembaharuan mengambil masa yang agak lama dan tidak jelas melibatkan jabatan visa dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Tambah beliau, sudah lebih lima bulan pelajar antarabangsa berkenaan berdepan dengan kelewatan menerima visa masing-masing, walaupun permohonan telah dibuat lebih awal.
"Ada juga yang terpaksa memohon dan membayar pas khas yang berfungsi sebagai pas lanjutan yang membolehkan mereka tinggal di Malaysia secara sah.
"Maklum lah, pas istimewa bukan murah, terutamanya untuk pelajar,” katanya ketika menghadiri sesi dialog bersama pelajar antarabangsa UIAM yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelajar Antarabangsa berhubung isu visa tersebut.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memberitahu, terdapat juga antara mereka terpaksa membayar kompaun kerana menetap lebih masa walaupun kesalahan bukan di pihak mereka.
Menurutnya, lebih menyedihkan apabila mendengar kisah sebilangan daripada mereka tidak dapat pulang ke negara asal dan berjumpa keluarga masing-masing.
"Lebih menyayat hati apabila mengetahui ada di antara mereka yang terpaksa kekal di kampus dan tidak keluar langsung, takut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sesuai.
"Bagi seorang pelajar, ia benar-benar membebankan mereka dari segi kewangan dan mental,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga alumni UIAM, tidak membiarkan perkara tersebut berlaku.
"Saya menggesa KDN, KPT serta pihak universiti terbabit mengambil tindakan segera dan memberikan tarikh akhir yang sewajarnya dalam menyelesaikan isu ini.
"UIAM sangat terkenal sebagai pusat ilmu di dunia Islam. Saya khuatir jika isu seperti ini berlarutan, orang ramai akan menjauhkan diri daripada menjadikan UIAM sebagai pilihan tempat belajar dan nama Malaysia akhirnya tercemar.
"Mereka sepatutnya menikmati apa yang Malaysia boleh tawarkan yang terbaik kepada mereka. Kita mesti melakukan yang lebih baik,” katanya.