BINTANG muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tidak gentar untuk beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, bermula 28 Julai ini walaupun ia penampilan sulungnya di temasya berkenaan.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata, meskipun bakal berdepan pencabar yang dianggap sengit di temasya itu, namun ia memberikan motivasi tambahan untuk beliau menampilkan aksi terbaik dalam acara 500 meter (m) ujian masa.
"Cabaran di Komanwel ini semestinya lebih sengit dengan adanya pencabar dari negara seperti Great Britain, India dan Kanada yang menjadi cabaran besar buat saya di sana.
"Tapi saya tak rasa tertekan walaupun ini pertama kali, takut sedikit itu adalah, cuma saya akan buat yang terbaik," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang mendapat jolokan sebagai 'Azizulhasni Awang versi Wanita' berkata, dia tidak mengharap untuk kedudukan pingat pada kali ini, tetapi akan berusaha sehabisnya untuk memecahkan rekod peribadinya.
Atlet kelahiran Sungai Petani itu pada masa sama, bertekad untuk mempamerkan kayuhan cemerlang pada temasya terbabit.
Pada 19 Jun lepas, Nurul Izzah mencatat nama sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, apabila mengungguli acara 500m ujian masa dengan catatan masa 35.499s.
Pada kejohanan tersebut, dia turut merangkul gangsa dalam acara keirin sekali gus mencipta sensasi dan dianggap sebagai permata baharu skuad berbasikal trek negara.
Skuad berbasikal telah berlepas ke Birmingham pada 9.50 pagi Sabtu bersama jurulatih kebangsaan, John Beasly.
Antara atlet berbasikal yang membawa cabaran negara ke temasya sukan itu adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom, sementara pelumba wanita adalah Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah. - Bernama