JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI]"Alhamdulilah, lega doa saya dimakbulkan, penantian sembilan bulan berakhir,".
Demikian luahan Azmawati Ab Kadir, 55, ibu kepada Muhammad Iman Aqmar, 24, apabila mayat anaknya yang dilaporkan hilang sejak 29 Oktober tahun lalu akhirnya ditemukan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dikeluarkan dari dasar Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan, Pahang pada Sabtu.
Azmawati kini dalam perjalanan ke Hospital Pekan, Pahang setelah menerima panggilan pihak polis berhubung penemuan kenderaanitu pada tengah hari Sabtu.
Jelasnya, sebelum itu, dia dihubungi orang awam memaklumkan penemuan MPV anaknya di Sungai Api-Api.
"Memang terkejut dapat panggilan dari orang awam beritahu nampak kereta arwah di dalam sungai. Tidak lama lepas itu, polis hubungi saya, maklumkan perkara yang sama.
"Kebetulan salah seorang anggota bomba itu kawan anak, memaklumkan maklumat peribadi termasuk bag kerja, baju kerja dan kad kerja atas nama anak saya," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Azmawati berkata, laluan di lokasi penemuan terbabit merupakan jalan yang digunakan anaknya setiap kali untuk pulang ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu dari rumah mereka di Taman Air Biru di sini.
Sinar Harian sebelum melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang Oktober tahun lalu terungkai berikutan penemuan rangka manusia dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang ditemui terbenam di dasar Sungai Api-Api pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dipetik berkata, penemuan MPV di dalam sungai itu disedari seorang pengguna jalan raya (pengadu) ketika berhenti untuk membuang batang besi yang ditemui terjatuh di atas jambatan sungai berkenaan pada jam 11.39 pagi.
Mohd Zaidi berkata, rangka tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk dibedah siasat manakala kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.