SRI Pahang FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 2-5 kepada Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.
Skuad Tok Gajah itu harus menyalahkan diri sendiri kerana bermula cemerlang apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil jaringan Steven Rodriguez pada minit ke-11.
Sri Pahang semakin selesa mendahului apabila pemain pertahanan Sri Pahang, Azwan Aripin menjaringkan gol kedua berselang dua minit kemudian.
Sebelum aksi babak pertama berakhir, Penang FC berjaya merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol pembukaan menerusi pemain tengah, T Saravanan pada minit ke-45.
Sebaik babak kedua bersambung, Penang FC terus memberi tekanan kepada tuan rumah untuk mencari gol penyamaan.
Menerusi satu serangan balas, skuad Harimau Kumbang itu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Hilal Alhelwe pada minit ke-86.
Pada penghujung permainan, Sri Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ashar Al Aafiz Abdullah dilayangkan kad merah apabila mengasari Muhammad Adib Abdul Ra'op.
Keputusan seri 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit permainan, sekali gus perlawanan terpaksa diheret sehingga masa tambahan.
Dalam aksi masa tambahan, Penang FC berjaya menjaringkan dua gol pantas hasil jaringan Lucas Espindola dan Hilal masing-masing pada minit ke-96 dan 98.
Sri Pahang terus tertekan apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Manuel Hidalgo dilayangkan kad merah pada minit ke-104.
Kesempatan itu digunakan sebaiknya Penang FC yang berjaya menambah gol kelima hasil jaringan K Thivandaran pada minit ke-116.