TERENGGANU FC (TFC) menepati ramalan mara ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Kuching City FC 4-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.
Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, TFC yang mendominasi awal permainan lagi memperoleh gol pendahuluan menerusi jaringan pemain sayap lincah, Mohd Faiz Nasir pada minit ke-20.
Tersentak jaringan itu, Kuching City menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan menerusi gerakan penyerang kebangsaan Liberia, Abu Kamara.
Hasilnya, pemain gantian Kuching City, Amir Amri Salleh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43, berpunca salah faham pertahanan TFC, Argzim Redzovic dengan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
Bersambung babak kedua, pengendali TFC, Nafuzi Zain membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan penyerang, Kipre Tchetche dan memasukkan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-60.
Tchetche berjaya menggamatkan ribuan penonton yang hadir apabila berjaya meledak gol kedua TFC pada minit ke-72 menerusi tandukan hasil hantaran Petrus Shetembi.
Penyerang import kelahiran Ivory Coast itu menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya dan ketiga TFC pada minit ke-79.
Ketika perlawanan sebenar berbaki tiga minit, pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim meledak gol keempat TFC menerusi rembatan leret untuk keputusan muktamad 4-1 memihak tuan rumah.
Dalam aksi separuh akhir, TFC bakal membuat perhitungan dengan Selangor FC yang terlebih dulu merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas.