SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan bahawa pihaknya dalam usaha membuat rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wanita.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak Kementerian berkenaan.
"Pada Januari 2022, Jakim telah mengeluarkan Peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu untuk diguna pakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA. Antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah kemudahan cuti bersalin berelaun penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita.
"Keputusan ini dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif Jakim dalam menjaga kebajikan golongan guru KAFA wanita yang bersalin.
"Justeru, Jakim dalam usaha membuat rayuan kepada pihak MOF dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak kementerian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Jakim terpaksa menangguhkan pemberian kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA atas arahan MOF.
Menerusi pekeliling yang diedarkan pada Jumaat, Jakim memaklumkan pihak MOF menyatakan bahawa kemudahan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana pelantikan guru KAFA tidak termaktub di dalam mana-mana Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan mahupun Skim Pegawai Perkidmatan Pendidikan.
Dalam pada itu, Hakimah berkata, pihaknya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Ahmad, pada Rabu telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Sri Mohd Shafiq Abdullah antara lain bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA.
Justeru, tegasnya, pihak Jakim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia Jakim, termasuk guru KAFA.