MOSCOW - Satu tin susu didapati tersekat dalam mulut seekor beruang kutub di sebuah kawasan terpencil di Rusia baru-baru ini.
Beruang betina yang dikenali dengan nama Monetochka telah meminta pertolongan daripada penduduk Dickson selepas lidahnya tersepit pada tin tersebut.
Seorang penduduk Dikson cuba mengeluarkan tin tersebut apabila beruang itu datang dekat dengan rumahnya.
Bagaimanapun, tin itu tersangkut terlalu dalam di dalam mulut Monetochka.
Sehubungan itu, sebuah pasukan penyelamat terbang sejauh lebih 3,000 kilometer dari Moscow untuk sampai ke pelabuhan Dikson selepas beruang itu kelihatan merayu kepada penduduk untuk mendapatkan bantuan.
Satu rakaman video menunjukkan bagaimana binatang itu dibius dan kemudian doktor haiwan menggunakan playar untuk mengeluarkan tin.
Mikhail Alshinetsky iaitu ketua doktor haiwan Zoo Moscow berkata, haiwan tersebut adalah anak beruang betina dan berumur kira-kira dua tahun.
Tin itu terperangkap di dalam mulut beruang tersebut selama beberapa hari menyebabkan lidahnya menjadi bengkak dan haiwan tersebut tidak dapat minum atau makan.
Selepas tin itu berjaya dialihkan, beruang tersebut dibawa ke kawasan tanah pamah yang lain dan disuntik sekali lagi untuk membangunkannya. - Agensi