Selangor MAC juara Piala Futsal Malaysia 2022

Iklan
Barisan pemain dan pegawai Selangor MAC meraikan kejayaan mereka selepas menundukkan Pahang Rangers dalam aksi final Piala Futsal Malaysia 2022 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama

SELANGOR MAC muncul juara sulung Piala Futsal Malaysia 2022 selepas menewaskan Pahang Rangers 4-3 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.

Perlawanan mula 'panas' susulan insiden pemain Pahang Rangers, Abu Haniffa Hassan berlaga dengan pemain Selangor MAC, Ekmal Sharin pada minit ke-21.

Iklan
Iklan

Keadaan menjadi semakin tegang apabila pemain kedua-dua pasukan termasuk yang berada di bangku simpanan campur tangan dalam situasi tersebut.

Akibatnya, pengadil perlawanan terpaksa melayangkan kad merah kepada Ekmal dan pemain Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali.

Iklan

Seminit sebelum babak pertama berakhir, Rizuan Bakri meletakkan Pahang Rangers di depan selepas menyempurnakan hantaran kapten, Akmadrulnizam Idris.

Belum seminit babak kedua bermula, Selangor MAC berjaya menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain Pahang Rangers, Khairul Affendy Bahrin.

Iklan

Khairul Affendy terus menjadi watak penting Selangor MAC apabila lorongannya berjaya disudahkan Firdaus Anmbiah pada minit ke-30.

Selang beberapa saat kemudian, Khairul Affendy terus menambah tekanan Pahang Rangers apabila menyempurnakan peluang menerusi sepakan percuma untuk melebarkan kedudukan 3-1.

Firdaus Ambiah menyumbat gol keempat Selangor MAC berpunca daripada kesilapan Pahang Rangers yang mengeluarkan penjaga gol, Victor Espindola untuk tampil dengan taktikal 'power play'.

Ketinggalan jauh, Pahang Rangers bangkit dengan meledak dua gol pada lewat permainan, masing masing menerusi Farhan Khairul Anwar dan Akmarulnizam Idris.

Bagaimanapun, dua gol itu sudah terlewat untuk menghalang Selangor MAC meraih kejayaan berganda selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada Mac lalu.