Kanak-kanak derita kanser kuat semangat, gigih berniaga

Iklan
Muhamad Wirdas menunjukkan ruang yang menempatkan makanan ringan jualannya di hadapan rumah.

IPOH - Menderita kanser limfoma tahap tiga tidak mematahkan semangat juang seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melawan penyakit demi meneruskan hidup.

Kegigihan Muhamad Wirdas Hafiy Zhahrin Ain, 9, turut diterjemah apabila menjalankan jualan secara kecil-kecilan di rumah demi mengisi masa lapang selepas tidak lagi dapat meneruskan sesi persekolahan.

Iklan
Iklan

Murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf, Batu Gajah itu disarankan pakar agar tidak mengikuti sesi persekolahan dalam tempoh dua tahun pertama ini bagi mengelak kesan yang lebih teruk terhadap kesihatannya.

Ibunya, Nurul Amalina Mohd Arbi, 31, berkata, idea untuk melakukan jualan makanan ringan antaranya roti, keropok, dan gula-gula itu diberi Muhamad Wirdas sendiri sejak sebulan lalu.

Iklan

Menurutnya, anak sulung daripada empat beradik itu berharap dengan jualan itu, dapatlah sedikit sebanyak menampung perbelanjaan keluarga dan perubatan bagi merawat penyakit kansernya.

"Memang sejak Wirdas sakit, saya tidak lagi dapat meneruskan perniagaan kedai makan kerana perlu memberi perhatian kepadanya.

Iklan

"Tetapi keadaan itu tidaklah sampai membebankan kerana kos rawatan Wirdas ketika ini, semuanya ditanggung hospital.

"Semangat dan rasa tanggungjawab yang dia tunjukkan dengan mencari wang untuk membantu keluarga itu begitu meruntun hati saya dan suami, Zhahrin Ain Mohd Madzlan, 35," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Medan Bemban Mesra, Batu Gajah pada Jumaat.

Nurul Amalina bersyukur kerana jualan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti sekitar terutama rakan sekolah Muhamad Wirdas.

Zhahrin Ain bersama anak kesayangannya, Muhamad Wirdas. (Gambar kecil : Nurul Amalina)

"Stok makanan ringan ini kami beli di kedai borong, walaupun untungnya tidaklah seberapa, yang penting Wirdas rasa seronok dapat buat jual-jualan ini," katanya.

Dia berkata, tahap kesihatan Muhamad Wirdas mula merosot pada Mei lalu apabila mengalami kesukaran bernafas dan bergejala 'bell's palsy' pada bahagian kiri muka.

Katanya, keadaan itu kemudiannya dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sebelum disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga.

"Meskipun khabar duka itu begitu mengejutkan saya dan suami, kami pasrah dan menerima takdir dengan positif, lebih-lebih lagi selepas melihat semangat tinggi melawan penyakit ditunjukkan Wirdas," katanya.

Muhamad Wirdas yang pernah dimasukkan ke wad Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) hampir sebulan kini perlu menjalani sesi kemoterapi di HRPB empat kali seminggu selain bergantung kepada bekalan ubat-ubatan.

Sementara itu, Zhahrin Ain yang bekerja sebagai mekanik dengan membaiki motosikal di rumah berkata, anaknya itu pernah menyuarakan rasa lelah dengan sesi rawatan dijalani.

Antara luahan yang menyentuh hatinya apabila anaknya itu menangis kerana sudah tidak sanggup terseksa dengan penyakit berkenaan.

"Kami sentiasa beri dia semangat dan dalam masa sama nekad untuk lakukan yang terbaik bagi menyembuhkan penyakitnya.

"Sekarang ini dia sudah menerima keadaan dirinya dan mahu sama-sama berusaha untuk sembuh," katanya.

Mereka yang ingin membantu dan menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zhahrin Ain di talian 01133488714.