TONGGAK pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci yakin kehadiran penyerang Argentina, Angel Di Maria musim panas nanti mampu mempertajamkan lagi jentera serangan skuad berkenaan bagi mengharungi saingan Serie A.
Menurut Bonucci, kehadiran Di Maria yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Real Madrid dan Paris Saint-Germain akan turut memantapkan lagi skuad kendalian Massimiliano Allegri itu.
"Pertamanya, saya gembira dengan keputusan Di Maria untuk menyertai Juventus dan saya tidak sabar menantikan kehadirannya ke Turin.
"Bagi saya, dia memiliki kualiti sebagai penyerang yang diperlukan oleh kelab ini dan dibantu dengan kehadiran pertahanan Brazil Bremer selain bintang Perancis, Paul Pogba.
"Saya percaya, ketiga-tiga pemain ini akan membantu Juventus berdasarkan pengalaman yang mereka miliki,” katanya.
Sementara itu Bonucci turut mengingatkan bekas rakan sepasukannya, Matthijs de Light supaya berhati-hati ketika memberikan reaksi terutamanya kepada media berhubung perpindahannya ke Bayern Munich, musim panas nanti.
Menurut Bonucci, setakat ini kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan pemain berkenaan jelas menunjukkan dia sememangnya tidak mahu lagi untuk beraksi bersama skuad The Old Lady itu.
"De Light perlu lebih bijak sebelum membuat sebarang kenyataan atau sekurang-kurangnya ‘menghormati’ bekas kelabnya itu.
"Bagaimanapun, ada beberapa kenyataannya mengenai kelab ini (Juventus) yang tidak begitu sesuai untuk diperkatakan kerana ia seolah-olah tidak menghormati kami setelah banyak perkara dilakukan oleh kelab ini dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini untuknya sehingga dia muncul selaku antara pemain terbaik ketika ini.
"Apa pun, secara keseluruhannya, kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya dan berharap dia berjaya dengan kelab baharunya nanti,” katanya.