PENGENDALI Manchester United, Erik Ten Hag menyifatkan skuad The Red Devils itu mungkin sudah menemui pengganti Cristiano Ronaldo dengan kehadiran semula pemain Perancis, Anthony Martial musim panas ini.
Menurut Ten Hag, Martial yang sering kali dilepaskan United sebagai pemain pinjaman sebelum ini mampu menggalas tugas selaku ‘penggempur’ bagi kejayaan skuad kendaliannya itu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Ten Hag bagaimanapun berkata, Martial perlu membuktikan dahulu kemampuan selain membuktikan sikap yang bagus sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat kelak.
"Dia (Martial), perlu kembali ke Old Trafford dan menunjukkan sikap yang baik sebagaimana diinginkan.
"Secara keseluruhannya, ia bukan hanya mengenai menjaringkan gol atau membantu rakan-rakan sepasukan, tetapi ia turut melibatkan etika, keinginan untuk terus belajar terutamanya pada sesi latihan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini Martial telah menjaringkan tiga gol pada aksi pramusim berdepan Thailand dan Australia sekembalinya ke pangkuan United setelah berkelana ke skuad La Liga, Sevilla selaku pemain pinjaman.
Martial menyertai United sejak musim 2016 telah menjaringkan 79 gol dan beraksi sebanyak 269 perlawanan namun hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan musim lalu di bawah kendalian Ralf Rangnick sebelum dilepaskan secara pinjaman kepada Sevilla.
Martial bagaimanapun tidak dibenarkan untuk meninggalkan United kerana khidmatnya kini semakin ditagih skuad The Red Devils itu.
Sementara itu Ten Hag menyifatkan Martial selaku pemain yang sukar untuk diperoleh ketika ini, terutamanya apabila melibatkan dari segi ‘ketajaman’ ketika berada di depan pintu gol lawan.
"Tidak ramai pemain yang ‘tajam’ di depan pintu gol sepertinya, malah dia juga sering bekerja keras apabila diberikan peluang untuk beraksi.
"Oleh itu, saya yakin dia mampu memberikan impak tersendiri bersama United musim ini,” katanya.