HASRAT atlet Amerika Syarikat, Nia Ali untuk mempertahankan gelaran juara bagi acara 100 meter berpagar wanita di Kejohanan Dunia (Padang dan Balapan) 2022 di Oregon tidak kesampaian apabila terkandas pada acara saringan pada Sabtu.
Atlet berusia 33 tahun itu terkandas apabila lututnya terlanggar pagar halangan terakhir hingga menyebabkan dia terjatuh ketika sedang bersaing hebat dengan atlet Jamaica, Britany Anderson pada acara saringan berkenaan.
Mengulas mengenai insiden itu, Nia mengakui dia tersilap teknik ketika melakukan lompatan dan menyebabkan lututnya terlanggar pagar halangan serta terjatuh.
"Saya tersilap teknik lompatan kali ini hingga menyebabkan saya terjatuh ketika sedang bersaing hebat ke garisan penamat.
"Bagaimanapun, saya akur dengan perkara ini dan saya akui ia merupakan kesilapan saya sendiri,” katanya.
Kegagalan pada acara saringan itu menyaksikan Nia gagal mara ke separuh akhir sekali gus terpaksa melepaskan gelaran juara kepada atlet lain kali ini.
Untuk rekod, Ali muncul juara 100 meter berpagar pada Kejohanan Dunia di Doha pada 2019 lalu.
Sementara itu, Nia mengakui, insiden sedemikan merupakan insiden pertama yang berlaku kepadanya sejak berkecimpung dalam sukan olahraga.
Katanya, gara-gara kesilapan teknik yang dilakukannya itu, ia telah menyebabkan dia kehilangna gelaran selaku juara kali ini.
"Saya seolah-olah ‘membiarkan’ teknik saya ketika berlari dan akhirnya ia memberikan impak besar kepada saya apabila tersingkir pada acara saringan.
"Mungkin jika saya terus berdisiplin mengikuti teknik yang telah disediakan sejak awal, saya kini mampu melepasi cabaran di separuh dan seterusnya beraksi di acara akhir,” katanya.