Sekolah menengah catat wabak jangkitan pernafasan paling tinggi

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Akmal)

IPOH - Sekolah menengah mencatatkan jumlah tertinggi bagi kes jangkitan saluran pernafasan di negeri Perak sehingga 21 Julai 2022.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, daripada 48 kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan itu di negeri ini, 40 daripadanya melibatkan sekolah menengah iaitu 83.3 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah itu diikuti masing-masing satu wabak di sekolah rendah, prasekolah, pondok pengajian agama, dan pusat latihan perindustrian, serta empat wabak lagi berlaku di lain-lain lokaliti.

"Sehingga 21 Julai 2022, sebanyak 44 wabak telah tamat manakala, empat wabak jangkitan saluran pernafasan di sekolah menengah masih aktif.

Iklan

"Setakat ini tiada kematian berkaitan wabak jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengingatkan orang ramai agar melakukan beberapa tindakan seperti kerap membasuh tangan dengan, sabun atau pensanitasi tangan, menggunakan pelitup muka dan sebagainya.

Iklan

Menurutnya, jika bergejala, pesakit perlu berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai atau mendapatkan rawatan segera sekiranya gejala bertambah teruk.

Jelasnya, JKN Perak akan terus memantau situasi dan tren kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya.