KUALA LUMPUR - Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memandu dalam keadaan berbahaya di lorong kecemasan hingga menyebabkan kemalangan terhadap sebuah motosikal petang kelmarin ditahan polis di Jalan Tun H.S. Lee, petang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kertas siasatan kes dibuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Menurutnya, suspek berusia 38 tahun yang merupakan seorang peniaga akan dituduh di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Saya sahkan tangkapan tersebut. Kertas siasatan dibuka dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 42 APJ,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 35 saat mengenai kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Kilometer 262 berdekatan Seremban melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha YZF-R15 warna biru dengan Toyota Hilux berwarna putih.
Dalam video tersebut, kenderaan pacuan empat roda dirakam dipandu dalam keadaan melulu dan berbahaya di lorong tengah sebelum membuat pergerakan memotong zig-zag beberapa kenderaan awam lain menggunakan lorong kecemasan.
Akibat daripada tindakan itu, motosikal yang datang dari arah belakang hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan.
Penunggang motosikal yang mengalami kecederaan patah jari kaki kiri dan dirawat di Hospital Besar Seremban kemudian membuat laporan polis di IPD Seremban.
Difahamkan, terdahulu hasil risikan, polis berjaya mengesan pemilik asal kenderaan namun pemilik seorang wanita memaklumkan pemandu ketika kejadian adalah adik kandungnya.
Kenderaan tersebut disita untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 jika sabit kesalahan.