KOTA KINABALU - Pelaksanaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) menerusi projek jelapang padi di Kota Belud akan membantu meningkatkan pengeluaran beras tempatan sekali gus mengurangkan kadar kebergantungan beras import dari luar Sabah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, IADA yang dilaksanakan di Kota Belud itu adalah hasil kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dengan peruntukan lebih RM250 juta.
Katanya, seluruh negara ketika ini cuma mampu mengeluarkan beras untuk tahap sara diri (SSL) sebanyak 70 peratus sahaja manakala 30 peratus lagi diimport dari luar.
"Di Sabah kadarnya lebih tinggi sebab pengeluaran beras tidak berada pada tahap yang memuaskan dan kita masih bergantung kepada import dan penghantaran beras dari negeri lain.
"Tentu sekali ada usaha melalui kerajaan Persekutuan dan negeri di mana kerajaan Persekutuan melaksanakan IADA di Kota Belud iaitu projek jelapang padi yang besar disatukan dan sedang diusahakan kerajaan dengan menyalurkan lebih RM250 juta bagi program keseluruhan berkenaan," katanya selepas melancarkan program Street Attack Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 Jalan Jati di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana usaha untuk mengurangkan tahap kebergantungan beras import di Sabah walaupun negeri ini melalui beberapa daerah merupakan pengeluar beras tempatan.
Mengulas lanjut, beliau berharap melalui program IADA di Kota Belud yang sedang dilaksanakan itu akan meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini.
"Melalui Jabatan Pertanian Sabah juga telah menemui varieti benih padi yang baharu dan kajian mendapati ia adalah varieti yang terbaik serta mampu mengeluarkan beras bermutu lebih tinggi daripada varieti yang lain.
"Jadi ini satu usaha yang berterusan yang dilakukan melalui kerajaan Persekutuan bagi mengeluarkan beras tempatan sekali gus meningkatkan pengeluaran beras di Sabah," katanya.
Sebelum itu, Ronald turut memaklumkan program itu sebagai salah satu promosi dan publisiti bagi penganjuran MAHA 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.
Beliau berkata, Sabah adalah negeri terakhir bagi siri jelajah promosi MAHA 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos depan.
"Penganjuran MAHA diadakan semula selepas ditangguhkan berikutan pandemik pada 2020 dan kali ini diadakan selama 10 hari di MAEPS Serdang di mana sebanyak 1,500 ruang untuk peniaga dan peladang disediakan.
"Sudah tentu sekali produk dari Sabah yang diusahakan oleh pengusaha di negeri ini akan turut mengambil peluang bagi mereka memperluaskan perniagaan masing-masing," katanya.