Sempat buat panggilan video dengan ibu

Iklan
Jenazah lima sekeluarga tiba di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid di Kampung Permatang Sungai Dua pada Ahad.

BUTTERWORTH - Lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menghantar salah seorang ahli keluarga ke sebuah pondok pengajian agama di Kota Bharu pada Sabtu.

Anak kepada pasangan yang maut, Siti Fatimah Mohd Rodhi, 27, berkata, dia sempat menghubungi ibunya melalui panggilan video sebelum menerima berita duka yang menimpa keluarganya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia menghubungi ibunya kira-kira jam 12 tengah hari dan dimaklumkan yang mereka dalam perjalanan pulang.

"Ibu sempat beritahu urusan pendaftaran pengajian kakak sudah selesai dan dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Iklan

Siti Fatimah berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ahli keluarganya pada hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan tidak menyangka panggilan video dibuat pada tengah hari Sabtu itu adalah perbualan terakhir mereka.

Jelasnya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa ahli keluarganya dia bersama suami bergegas pulang dari Kuala Lumpur ke Sungai Dua.

Iklan

Walaupun masih sedih dan terkejut dengan tragedi yang meragut nyawa lima ahli keluarganya, Siti Fatimah sekeluarga reda dengan kehilangan tersebut.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa.

Mangsa terlibat dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, lima tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nahas melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux yang masing-masing dinaiki lima mangsa.