Empat dimensi utama ukuran pastikan sekuriti makanan berterusan

Iklan
Ronald (dua dari kiri) melancarkan program promosi dan publisiti bagi Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism atau lebih dikenali sebagai MAHA edisi 2022 di Tamu Gaya pada Ahad. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Empat dimensi utama akan menjadi ukuran dalam memastikan sekuriti makanan negara mampu bertahan dalam jangka masa yang lama.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dimensi itu adalah ketersediaan, kebolehcapaian penggunaan, kestabilan dan kemampanan makanan.

Iklan
Iklan

"Usaha untuk menangani sekuriti makanan merupakan satu usaha yang berterusan dan kita harus mempunyai kemampuan mengeluarkan keperluan makanan di negara ini.

"Kita cuma mengimport barang-barang yang tidak dikeluarkan (atau tidak mencukupi) di negara, sebab itu pelbagai usaha dijalankan oleh kementerian serta agensi untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran produk makanan di negara kita," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Street Attack Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 zon Sabah di Tamu Jalan Gaya di sini pada Ahad.

Ronald berkata, antara usaha berterusan yang dilaksanakan kementerian ketika ini termasuk mengurangkan kebergantungan sebanyak 30 peratus import beras dari luar negara.

Iklan

Beliau berkata, bekalan makanan di negara ini adalah stabil dan pelbagai usaha juga turut dijalankan melalui Dasar Agromakanan Negara 2.0 untuk menentukan ketersediaan makanan untuk rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Ronald berkata, sebanyak 1,500 gerai pameran turut disediakan selain ruang perniagaan, ladang dan produk-produk usahawan dari setiap negeri dalam MAHA 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Katanya, MAHA 2022 merupakan platform untuk peniaga bertemu peniaga dan peniaga bertemu pelanggan malah mampu menjana pendapatan usahawan yang terlibat dalam program yang akan berlangsung selama 11 hari bermula 4 Ogos depan.

Di samping itu, MAHA 2022 juga memberi penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan bagi menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta dalam dan luar negara. - Bernama