PONTIAN - UMNO Johor menegaskan tiada keperluan untuk meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH) yang bakal berakhir pada 31 Julai ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tuntutan sesetengah pihak agar ia disambung sekaligus membentuk MoU kedua antara kerajaan dan PH juga tidak perlu dibangkitkan.
"Tujuan MoU itu adalah untuk membentuk persefahaman antara kerajaan dan semua ahli Parlimen. Namun MoU kedua ini tidak perlu dilihat sebagai syarat untuk membentuk satu kestabilan dalam kerajaan.
"Saya tidak nampak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai sebarang masalah untuk memenuhi gesaan UMNO agar MoU berkenaan tidak disambung. Justeru, UMNO Johor senada dengan UMNO Pusat, MoU terbabit tidak perlu disambung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kembara Berbasikal sempena Sambutan 100 tahun Sekolah Pei Chun pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Benut itu turut meminta agar semua pihak berhenti 'bermain' politik sebaliknya menumpukan perhatian bagi membangunkan ekonomi negara.
"Saya rasa cukup bermain politik kerana sudah sampai masanya untuk bekerja kukuhkan semula ekonomi negara kita.
"Mana-mana pihak yang menuntut agar MoU antara kerajaan dan PH ini disambung ia adalah perkara yang tidak perlu dibangkitkan," katanya.
Sebelum itu pada 19 Julai lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu memutuskan tiada lagi lanjutan terhadap MoU di antara kerajaan dan PH.
Memorandum berkenaan mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Pada 13 September tahun lalu, pentadbiran Ismail Sabri memeterai MoU itu yang ditandatangani bersama ketua-ketua parti dalam PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.