KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad menyarankan agar guru terbaik dan berpengalaman luas ditugaskan menerajui penyediaan bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
"... untuk bergantung kepada guru sahaja tanpa sebarang persediaan mengajar menerusi platform ini, beberapa pelajar mungkin peroleh kelebihan apabila guru terlibat cekap dalam aspek pengajaran sedemikian, namun sesetengah pelajar mungkin tidak, apabila guru terlibat tidak cekap mengendalikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘Wacana Hala Tuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara’ di sini pada Ahad.
Dr Mahathir berkata, dengan kemajuan teknologi, sistem pendidikan semasa perlu bergerak selari dengan perubahan yang berlaku bagi memenuhi keperluan pelajar dan generasi akan datang.
"Aspek paling penting dalam pengajaran pastinya adalah dalam membekalkan para pelajar dengan ilmu pengetahuan, namun selain itu kita juga perlu memastikan bahawa karakter yang terlibat adalah sesuai untuk memanfaatkan ilmu.
"Ini kerana sekiranya karakter yang baik tidak disemai dalam kalangan pelajar, mereka mungkin akan menyalah guna ilmu pengetahuan yang mereka peroleh,” katanya. - Bernama