TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyumbang 186 kerusi roda dan 50 katil hospital kepada penduduk memerlukan di Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, sumbangan itu diberikan bagi membantu mereka yang menderita pelbagai penyakit untuk meneruskan kehidupan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, nama-nama mereka ini diperoleh daripada ketua kampung yang kemudiannya disalurkan kepada pejabat Parlimen untuk diberi bantuan.
"Kita menerima laporan daripada ketua kampung untuk membantu menghantar katil dan kerusi roda kepada pesakit terlantar dan memerlukan perkhidmatan tersebut," katanya selepas menziarahi seorang pesakit di Kampung Pinang Parit 2 di sini pada Ahad.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, selain menyalurkan bantuan katil dan kerusi roda, pelbagai bentuk bantuan lain turut disalurkan kepada penduduk.
"Antara sumbangan lain yang kita salurkan seperti tongkat dan barangan keperluan lain," jelas beliau.
Noh sebelum itu turut menziarahi tiga rumah pesakit terlantar di sekitar Parlimen Tanjong Karang.