Caj air mentah: Kedah bertegas demi rakyat

Iklan
Muhammad Sanusi - Foto Pas Kedah

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah perlu mempamerkan sikap tegas terhadap mana-mana pihak termasuk negeri jiran berhubung perkara yang menyentuh kepentingan dan hak rakyat negeri ini.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ia termasuklah isu tuntutan caj air mentah yang diketengahkan berulang kali apatah lagi sumber air berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun pendekatan ditonjolkan beliau agak agresif berhubung tuntutan tersebut, namun ia mendapat maklum balas positif dari negeri jiran yang kemudian menghantar wakil untuk perundingan.

"Kadang-kadang kena kasar juga untuk mencapai hasrat kita. Menteri-menteri kita sebelum ini lembut-lembut. Hantar surat empat kali tak jawab, diam. Saya hantar sekali tak jawab saya 'jerkah' dah.

"Sampai mereka kena jawab dan sudah hantar wakil untuk berunding," katanya pada Program Amanat Khas Presiden Pas dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah pada malam kemuncak Pas Pilihanku Peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar pada malam Sabtu.

Pada 1 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Kedah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Dalam laporan tersebut, Muhammad Sanusi menjelaskan tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk memulakan proses saman di mahkamah jika pihak terbabit ingkar dalam tuntutan berkenaan.

"Kita nak pastikan satu hari nanti kalau dia tak bayar kita akan mulakan proses di mahkamah. Saya telah bertemu dengan sekumpulan peguam untuk memulakan proses saman bagi mereka yang ingkar," katanya.