KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempersoalkan tindakan pantas polis yang membuka kertas siasatan terhadap peserta perhimpunan bantahan kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, himpunan pada jam 2 petang yang diadakan sekumpulan mahasiswa, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik itu berlangsung aman tanpa sebarang provokasi seperti disiarkan secara langsung di pelbagai saluran media.
Menurutnya, peserta himpunan juga mematuhi arahan polis untuk tidak berarak melebihi halangan benteng anggota polis menuju ke Dataran Merdeka serta bersurai tepat jam 3 petang seperti yang dipersetujui hasil rundingan bersama.
"PKR Selangor mempersoalkan tindakan pihak polis yang begitu pantas membuka kertas siasatan dan mengenal pasti lebih 30 individu, seolah-olah peserta perhimpunan melakukan kesalahan jenayah.
"Lebih 200 laporan polis telah dibuat cabang PKR seluruh negara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Julai lalu, namun tiada kertas siasatan dibuka sehingga kini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Halimey meminta pihak polis supaya dapat memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan tidak menjadi alat kerajaan sehingga mengabaikan kedaulatan negara.
"Laporan dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan kanun jenayah sedia ada.
"Adakah hal terkait kedaulatan negara dipandang enteng pihak polis tetapi hak rakyat untuk berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan cuba dinafikan?, soalnya.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Kongres Nasional PKR ke-16, 17 Julai lalu meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM 67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu.