AKM Kelantan: 1,320 orang berjaya dapat kerja

Iklan
Suasana Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah AKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Seramai 1,320 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang diadakan bermula Jumaat lepas hingga Ahad.

Ketua Negeri Unit Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Muhammad Syahir Ammar Mohamed berkata, kesemua mereka yang berjaya ini akan dipanggil oleh majikan masing-masing bagi mula bekerja dalam tempoh terdekat.

Iklan
Iklan

"Lima syarikat yang paling ramai mengambil pekerja adalah Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Perhentian Island Resort, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, FELCRA Berhad dan Akademi Memandu Nasrom Sdn Bhd.

"Selain itu, sektor automotif merupakan yang paling banyak menawarkan peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Syahir Ammar berkata, sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung seramai 2,242 pencari kerja hadir untuk temu duga bersama 28 majikan.

Sementara itu, seorang calon yang berjaya mendapat pekerjaan Muhamad Najmuddin Mohd Mad, 18, dari Kampung Khatib Ali di sini melahirkan rasa gembira dan teruja kerana akan melaporkan diri dengan majikannya itu pada 1 Ogos ini.

"Ini kali pertama saya menyertai karnival kerjaya dan saya rasa macam tidak percaya apabila diterima bekerja dengan syarikat yang saya pilih," katanya.

Iklan

Wan Nurul Farhanah Wan Idris, 26, pula berkata, peluang yang diberikan oleh majikan baharunya itu akan digunakan sebaik mungkin dengan bekerja penuh amanah dan jujur.

"Saya harap program sebegini dapat diteruskan oleh agensi berkaitan bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum mendapat pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan lepasan universiti," katanya yang menetap di Pantai Cahaya Bulan di sini. - Bernama