SHAH ALAM - Penyahhutanan untuk projek Musang King di Gunung Inas, Baling, Kedah perlu dihentikan bagi mengelakkan tragedi banjir lumpur yang berlaku baru-baru ini terus berulang.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, tragedi itu tidak boleh dibiarkan berulang tanpa kesungguhan politik untuk menanganinya.
"Sudah berulang kali gesaan dan amaran yang diberikan oleh penduduk kampung, pencinta alam dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Penyahhutanan boleh mengakibatkan banjir lumpur ketika hujan lebat. Atas sebab itulah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertegas mengatakan bahawa banjir di Baling ini disebabkan oleh penyahhutanan untuk projek musang king di Gunung Inas, Baling.
"Penyahhutanan beserta perubahan iklim yang ekstrem akan menjadikan banjir kilat jauh lebih serius berbanding sebelumnya. Jangan biarkan tragedi berulang tanpa kesungguhan politik menanganinya," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berkongsi rasa pilu mendengar luahan hati Abdul Rahman Said, 71, yang juga anak jati Kampung Iboi, Baling.
Dalam tragedi banjir lumpur itu, dia kehilangan tiga ahli keluarga termasuk isteri tercinta, Salmah Mat Akib, 53; anak bongsu, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang sedang mengandung empat bulan.
"Cukup sakit di hati dengan kejadian tersebut umpama dicucuk sembilu. Encik Abdul Rahman kehilangan ketiga-tiga ahli keluarga semasa tragedi kepala air di kampung tersebut.
"Sudah berkali-kali beliau memberi amaran kepada kerajaan negeri supaya hentikan penebangan hutan di Gunung Inas tetapi usaha beliau diabaikan," katanya.