IPOH - Polis akan merakam percakapan pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam nahas di Gerik sehingga menyebabkan lima sekeluarga maut pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, buat masa ini, pemandu Hilux berkenaan iaitu wanita berusia 53 tahun masih ditahan di Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan disebabkan kecederaan dialami.
Menurut Mior Faridalathrash, wanita itu mengalami kecederaan pada dada dan paru-paru akibat kejadian berkenaan.
"Kami belum lagi dapat mengambil keterangan daripada pemandu itu.
"Mungkin dalam masa terdekat ini akan ambil selepas wanita itu pulih atau telah dibenarkan keluar hospital," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, setakat ini, polis sudahpun mengambil keterangan daripada dua penumpang kenderaan itu.
"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan, tindakan lanjut akan dibuat selepas kami ambil keterangan pemandu dahulu," katanya.
Kejadian sekitar jam 3.45 petang di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa itu mengorbankan lima sekeluarga selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki mereka dirempuh Hilux dari arah bertentangan.
Mereka yang maut adalah pasangan suami isteri, Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.
Dua lagi mangsa merupakan ibu bapa kepada Siti Aishah iaitu Mohd Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.
Siasatan awal polis mendapati, pacuan empat roda yang datang dari arah Gerik ke Jeli telah hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan MPV dinaiki mangsa.
Pemandu dan empat penumpang Hilux berkenaan terselamat dalam kejadian itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.