IPOH - Suami isteri yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negeri ini ditahan dalam satu operasi di Ipoh pada Khamis lepas.
Lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dan isterinya warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) sekitar jam 4.40 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, turut ditemui bersama pasangan berkenaan 20 bungkusan platik berwarna hijau bertulis Guanyingwang yang didalamnya bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 20.7 kilogram.
Menurutnya, bekalan dadah bernilai hampir RM2.07 juta itu dipercayai diperoleh dari negara jiran, digunakan bagi pasaran tempatan dan boleh membekalkan kepada hampir 200,000 penagih.
"Lelaki terbabit ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat makanan sekitar kawasan Jalan Raja Musa Mahadi sementara isterinya kita tahan di tepi jalan berhampiran Panorama Lapangan Perdana.
"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta dipandu lelaki itu menjumpai 10 bungkusan plastik di dalamnya disyaki dadah.
"Pemeriksaan susulan terhadap sebuah kereta di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Ipoh pula menemui 10 lagi bungkusan sama," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Isnin.
Beliau berkata, saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki terbabit mendapati positif dadah jenis methamphetamine sementara isterinya negatif dari sebarang jenis dadah.
Katanya, semakan rekod kesalahan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
"Pasangan ini telah berkahwin antara 3 ke 4 tahun dan mereka dikesan mula terlibat dalam aktiviti pengedaran ini sejak tiga bulan lalu.
"Mereka kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan hukuman gantung sampai mati," katanya.
Dalam tangkapan itu, polis turut menyita seutas jam tangan Rolex, rantai kaki, cincin dan gelang dianggarkan bernilai lebih RM83,000.