KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia untuk menambahbaik perundangan sedia ada dalam Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dengan mengambil kira keperluan semasa selari dengan perkembangan ekonomi.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, sekiranya perlu, kementerian tersebut akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung sebarang penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada itu.
Rosol berkata, ia bagi memastikan perundangan lebih efektif terus dikuatkuasakan oleh kementerian berkenaan bagi tujuan fasilitasi perdagangan dalam negeri.
"Kementerian telah menguatkuasakan mekanisme penentuan pencatutan melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
"Setiap peniaga atau syarikat yang menjual atau menawarkan suatu barangan atau caj bagi suatu perkhidmatan perlu mematuhi perundangan tersebut.
"Ia merupakan suatu mekanisme kawalan di peringkat kementerian terhadap peniaga atau syarikat supaya tiada berlakunya aktiviti manipulasi untung di kalangan peniaga atau syarikat semasa menjual atau menawarkan suatu barangan atau perkhidmatan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang memintanya menyatakan adakah KPDNHEP bersedia untuk menambah baik undang-undang sedia ada bagi tujuan fasilitasi perdagangan dalam negeri.
Menurutnya, sesi libat urus sentiasa diadakan antara pihak peniaga atau syarikat dengan pihak kementerian bagi memastikan kepatuhan terhadap perundangan yang dikuatkuasakan.
"Ia juga melibatkan semua peringkat sama ada di peringkat syarikat pengeluar atau pengilang, pengedar atau peruncit termasuk penyedia perkhidmatan,” katanya.
Tambah Rosol, bagaimanapun buat masa ini perundangan sedia ada adalah mencukupi bagi tujuan fasilitasi perdagangan dalam negeri.