Lima cadangan ringankan beban rakyat: Gerakan

Iklan
Pulau Pinang. Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Oh Tong Keong)

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa supaya membantu meringankan beban rakyat di negeri ini susulan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi akibat kenaikan harga barang.

Susulan daripada itu, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) Malaysia Pulau Pinang mencadangkan lima langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat di seluruh Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri diminta supaya melaksanakan pengecualian pembayaran cukai pintu untuk semua penghuni rumah kos rendah selama enam bulan sebelum hujung tahun ini.

Selain itu, beliau meminta kerajaan negeri memberi diskaun 50 peratus cukai pintu kepada penghuni rumah kos sederhana rendah.

Iklan

"Cadangan kedua adalah pemberian diskaun untuk bayaran sewa dan fi pengurusan iaitu memberi diskaun 50 peratus bayaran sewa dan fi pengurusan kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan. PPR yang dimaksudkan adalah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan Pulau Pinang.

"Selain itu, kerajaan negeri juga diminta supaya memberi moratorium pembayaran parkir kereta untuk jam pertama di seluruh Pulau Pinang selama enam bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tong Keong berkata, cadangan seterusnya adalah pemberian moratorium pembayaran lesen penjaja untuk semua penjaja Pulau Pinang selama satu tahun selain diskaun 50 peratus bayaran sewa gerai di pusat penjaja dan pasar.

"Cadangan terakhir adalah pemberian perkhidmatan bekalan air secara percuma kepada isi rumah yang mengguna air kurang daripada 10 meter padu dan 50 peratus diskaun diberikan kepada isi rumah yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu selama enam bulan.

"Kita berharap Kerajaan Pulau Pinang lebih bersikap prihatin terhadap rakyat selain mempertimbangkan lima cadangan yang disyorkan itu, demi memanfaatkan rakyat yang memerlukan bantuan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mendapat banyak maklum balas dan keluhan daripada rakyat yang menyatakan kesusahan mereka dalam berdepan dengan masalah peningkatan kos sara hidup selepas penularan Covid-19.

"Kita menerima banyak aduan ketika mengadakan lawatan di kawasan-kawasan bagi bertemu rakyat. Selain daripada impak susulan Covid-19, rakyat hidup dalam keadaan sengsara apabila berdepan tekanan inflasi. Oleh itu, kita berharap kerajaan negeri memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat yang terkesan.

"Saya percaya, keadaan kewangan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan Pulau Pinang tidak akan tergugat dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang memerlukan sekiranya pihak kerajaan negeri berbelanja dengan berhemah, dan mengutip cukai tambahan daripada pelbagai sektor dalam industri pelancongan warisan dan pelaburan asing," katanya.